PELAKSANAAN PENTAKSIRAN DALAM BILIK DARJAH (PBD)
1. Merancang PdP dan Kaedah Pentaksiran
Dalam merancang PdP dan kaedah pentaksiran, guru perlu:
- Meneliti dan memahami kandungan setiap tajuk dalam DSKP.
- Menentukan objektif pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dan
yang hendak ditaksir oleh guru. Objektif pembelajaran hendaklah selari
dengan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang telah
dikenal pasti.
- Mengenal pasti kaedah pentaksiran yang sesuai.
i. Kaedah pentaksiran secara pemerhatian, lisan dan penulisan
boleh dilaksanakan secara berasingan atau digabungkan.
Pentaksiran ini dijalankan secara berterusan untuk mendapatkan
maklumat pentaksiran yang lebih jelas dan tepat berkaitan
dengan keupayaan, perkembangan dan kemajuan murid.
ii. Penentuan kaedah pentaksiran ini bergantung kepada objektif
pembelajaran yang hendak ditaksir dan bersesuaian dengan
keupayaan murid.
iii. Instrumen pentaksiran yang digunakan bergantung kepada
aktiviti PdP yang dirancang dan kaedah pentaksiran yang dipilih.
Pembinaan Instrumen Pentaksiran
Instrumen yang dibina seharusnya mengukur apa yang hendak
diukur. Contoh instrumen yang boleh dibina ialah:
- Kertas soalan ujian
- Anekdot
- Soal-selidik
- Lembaran kerja
- Rekod berterusan (running record)
- Skala kadar
- Senarai semak
2.
Melaksanakan PdP dan PentaksiranGuru melaksanakan pentaksiran secara berterusan dalam PdP dengan
menggunakan kaedah (i) lisan, (ii) bertulis dan (iii) pemerhatian.
i) Pentaksiran Secara Lisan
Pentaksiran secara lisan boleh berlaku secara spontan semasa PdP atau secara
terancang melalui sesi soal jawab atau kuiz. Pentaksiran secara lisan
merupakan satu kaedah pentaksiran yang mudah dan cepat bagi mengesan
perkembangan atau penguasaan murid.
Pentaksiran secara lisan digunakan untuk mengumpul maklumat semasa
berlaku interaksi antara:
- Murid dengan guru
- Murid dengan murid
- Murid dengan bahan pembelajaran
Antara aspek yang boleh ditaksir secara lisan ialah:
- Kefahaman konsep
- Pengetahuan fakta
- Kemahiran mendengar
- Penggunaan bahasa yang tepat
- Kefasihan menghafaz
- Sebutan dalam berbahasa
- Kecekapan mencongak
- Gaya persembahan
- Pertuturan dan sikap
Kemahiran lisan boleh ditaksir melalui aktiviti seperti berikut:
- Soal jawab
- Bacaan kuat
- Syarahan
- Perbahasan
- Bercerita
- Perbincangan
- Hafazan
- Temu bual
- Soal jawab
- Nyanyian
- Deklamasi sajak
- Mendengar dan memberi respons secara lisan
Pentaksiran lisan sesuai untuk:
- Mengesan kemajuan dan pencapaian murid dalam kemahiran
berkomunikasi
- Mendapat maklumat serta-merta tentang pengetahuan dan kefahaman
murid
- Mengesan kebolehan murid dalam kemahiran membaca dan
menghafaz
- Mengesan kelancaran dalam sebutan
- Mengesan amalan dan sikap murid secara serta-merta
Instrumen pentaksiran secara lisan boleh dipelbagaikan merangkumi soalan
dan aktiviti yang memerlukan respons murid dalam bentuk lisan. Dalam
menyediakan instrumen guru perlu memastikan:
- Soalan, penyataan, ilustrasi dan bahan ransangan perlu jelas dan mudah
difahami
- Aktiviti atau bahan boleh meransang murid mengeluarkan idea
- Pelbagai bentuk soalan seperti soalan bertumpu dan bercapah
digunakan untuk meransang murid berfikir dan menaakul
ii)
Pentaksiran Secara Bertulis Pentaksiran secara bertulis melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa
tugasan dan hasil penulisan murid seperti berikut:
- Karangan
- Laporan projek/eksperimen kerja kursus/folio
- Latihan bertulis
- Ujian bertulis
- Huraian atau tafsiran statistik, peta, jadual, graf atau carta
Instrumen dalam pentaksiran secara bertulis digunakan untuk mengesan
perkembangan intelek dan kemahiran murid dari aspek:
- Menulis
- Menyusun idea
- Mengaplikasi
- Mentafsir
- Menilai
- Mencipta
iii)
Pentaksiran Secara Pemerhatian Pemerhatian sesuai digunakan untuk mentaksir proses dan hasil kerja murid
seperti penghasilan lukisan, buku skrap, kraf tangan, produk atau kerja kursus.
Pemerhatian ini membolehkan guru menilai sikap serta penguasaan sesuatu
kemahiran.
Pemerhatian boleh digunakan untuk mentaksir aspek seperti berikut:
- Sikap
- Perlakuan/amalan
- Amali
- Kemahiran manipulatif
- Kemahiran bersosial
- Kemahiran belajar
- Kemahiran kinestetik
- Kemahiran literasi komputer
- Kemahiran mereka cipta
Maklumat daripada pemerhatian boleh membantu guru melengkapkan
gambaran mengenai keputusan pentaksiran yang diperoleh melalui kaedah
lisan dan penulisan. Hasil pemerhatian membolehkan guru mengenal pasti
murid yang berdaya tahan, mahir berkomunikasi, pemikir, kerja sepasukan,
bersifat ingin tahu, berprinsip, bermatlamat, penyayang atau prihatin dan
patriotik. Instrumen pentaksiran secara pemerhatian adalah seperti senarai
semak, skala kadar, anekdot dan rekod berterusan (running record).
3. Merekod dan Menganalisis Penguasaan Murid
Merekod ialah aktiviti mencatat maklumat secara sistematik berkaitan
perkembangan, kebolehan, kemajuan dan penguasaan murid. Maklumat dalam
rekod perlu dikemas kini, disimpan dan dijaga dengan baik untuk memudahkan
guru membuat rujukan tentang pembelajaran murid. Maklumat yang direkod
perlu dianalisis dan ditafsir untuk tujuan tindakan susulan dan pelaporan.
Merekod boleh dibuat dalam bentuk berikut:
- Membuat pernyataan
- Menanda dengan menggunakan simbol
- Memberi markah
- Memberi gred
Rekod boleh dilakukan dalam rekod mengajar, buku catatan guru, senarai
semak dan templat pelaporan (Excel).
Aktiviti merekod dilakukan oleh guru dari semasa ke semasa supaya maklumat
menyeluruh tentang penguasaan pembelajaran murid terkumpul dan mudah
dirujuk. Maklumat yang dikumpul membolehkan guru membuat pertimbangan
profesional bagi menentukan tahap penguasaan murid dalam sesuatu
kelompok Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Seterusnya guru
merancang tindakan susulan berdasarkan kepada tahap penguasaan murid.
4. Tindakan Susulan
Tindakan susulan boleh dijalankan secara serta-merta atau dirancang.
Kemampuan setiap murid untuk memahami atau menguasai pelajaran masingmasing adalah berbeza. Semasa menjalankan pentaksiran guru boleh mengenal
pasti murid yang belum atau telah menguasai perkara yang telah dipelajari.
Seterusnya guru boleh menjalankan tindakan susulan yang sesuai untuk
meningkatkan tahap penguasaan setiap murid.
Dalam mengendalikan tindakan susulan bagi meningkatkan penguasaan murid,
guru boleh:
- Menggunakan pelbagai teknik PdP yang berkesan bersesuaian dengan
tahap keupayaan murid yang berkenaan
- Menggunakan bahan PdP yang menarik dan bersesuaian
- Menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap penguasaan murid
- Memberi perhatian dan bimbingan yang rapi secara individu atau
berkumpulan
- Memberi peluang kepada murid untuk mengukuhkan penguasaan
dalam pengetahuan, kemahiran dan nilai
5.
Melapor
Pelaporan ialah proses penyampaian maklumat pentaksiran dari semasa ke
semasa tentang kemajuan dan pemerolehan pengetahuan, penguasaan
kemahiran, penerapan nilai, pembangunan sikap dan pencapaian murid yang
dikemukakan kepada pihak berkepentingan terutamanya ibu bapa. Melalui
pelaporan, ibu bapa dapat memantau perkembangan pembelajaran dan tahap
penguasaan anak mereka.
Perkembangan dan kemajuan murid boleh dilaporkan secara lisan atau bertulis
merangkumi perkara berikut:
- Tahap penguasaan murid
- Penyataan tentang minat, sikap dan perlakuan murid
- Cadangan tindakan susulan untuk meningkatkan potensi murid oleh
guru mata pelajaran dan guru kelas
Pelaporan ini dilakukan dua kali setahun dan dijana
melalui laporan individu dalam templat MS Excel yang disediakan setelah guru
menetapkan Tahap Penguasaan murid dalam Rekod Prestasi Murid.
Pelaporan perlu dilakukan bagi membolehkan murid, pihak sekolah dan ibu
bapa mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Pelaporan ini juga
membantu guru untuk mengenal pasti aspek kekuatan dan kelemahan seseorang murid serta menambah baik PdP. Pelaporan ini bukan bertujuan
untuk membuat perbandingan antara seorang murid dengan murid yang lain.
Comments
Post a Comment