PERTIMBANGAN PROFESIONAL
PERTIMBANGAN PROFESIONAL
Maksud Pertimbangan Profesional
Pertimbangan profesional ialah pertimbangan yang dibuat menggunakan pengetahuan profesional terhadap kurikulum yang dihasratkan mencakupi pengetahuan, kemahiran, nilai, bukti pencapaian, strategi pengajaran, kaedah pentaksiran, serta kriteria dan standard yang ditetapkan. Pertimbangan profesional memerlukan guru membuat keputusan secara beretika dan bertanggungjawab mengenai tahap penguasaan murid, berdasarkan analisis dan rumusan maklumat terhadap pembelajaran.
Guru menggunakan pengetahuan, pengalaman, input murid dan mengamalkan tanggungjawab profesional dalam membuat pertimbangan profesional. Guru juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan tentang bidang atau disiplin ilmu, pedagogi serta pentaksiran melalui pembacaan dan perbincangan secara profesional dengan rakan pendidik lain untuk meningkatkan kompetensi dalam membuat pertimbangan profesional.
(a) PengetahuanGuru perlu berpengetahuan luas dalam mata pelajaran yang diajar meliputi ilmu, kandungan, strategi pengajaran serta berkebolehan mentaksir murid (dengan pelbagai kaedah pentaksiran) secara adil, telus dan konsisten.
(b) Tanggungjawab profesional
Guru melaksanakan pentaksiran secara bertanggungjawab dan beretika berdasarkan pengetahuan, input murid serta pengalaman yang ada dengan cekap, adil, telus, sistematik dan holistik.
(c) Input murid
Guru menganalisis dan membuat pertimbangan berdasarkan pemerhatian, perbincangan dua hala, soal jawab, lembaran kerja murid, buku log, portfolio, jurnal harian, kuiz, esei, puisi, slaid pembentangan, hasil projek dan lain-lain yang bersesuaian. Guru juga membuat pertimbangan berdasarkan prestasi murid dalam aktiviti PdP, ujian atau latihan yang diberikan.
(d) Pengalaman
Guru menggunakan pengalaman mengajar dalam interaksi dengan murid. Berdasarkan
pengalaman, guru dapat mengenal pasti kekuatan dan potensi murid. Walau
bagaimanapun, guru harus mentaksir murid secara profesional.
Melaksanakan Pertimbangan Profesional
Pertimbangan profesional merupakan satu proses yang berterusan sepanjang proses PdP. Guru dapat melakukan pertimbangan profesional berdasarkan kekerapan pemerhatian dan interaksi dengan murid pada satu tempoh yang sesuai.
Walau bagaimanapun, untuk suatu pertimbangan yang boleh dipercayai, seorang murid harus diberi peluang yang mencukupi bagi menunjukkan apa yang telah dipelajari. Ini bermakna guru harus mengumpul hasil kerja murid yang secukupnya serta melakukan pemerhatian untuk mendapat gambaran yang menyeluruh bagi membantunya membuat pertimbangan terhadap seseorang murid. Ini membolehkan guru membuat justifikasi tentang pertimbangan yang telah dilakukan.
Moderasi
Moderasi adalah proses penetapan aspek atau kriteria dalam pentaksiran. Dalam proses moderasi, guru berkongsi pengalaman, pengetahuan, pemahaman kurikulum (Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi), strategi pengajaran serta pentaksiran bagi melaksanakan pertimbangan profesional. Proses ini melibatkan membuat keputusan yang konsisten di dalam mentaksir tahap penguasaan murid. Moderasi dilaksanakan oleh guru mata pelajaran yang sama atau dalam Panitia yang sama. Moderasi penting bagi mengurangkan jurang pertimbangan profesional antara seorang guru dengan guru yang lain. Moderasi juga adalah untuk memastikan kesahan dan kesaksamaan dalam pertimbangan profesional dan pentaksiran yang dilakukan.
Tujuan moderasi:
- Memastikan pertimbangan yang dibuat adil, konsisten, sah dan boleh dipercayai
- Meningkatkan komunikasi profesional dalam kalangan guru
- Mewujudkan pembelajaran profesional dalam kalangan guru
- Meningkatkan pengajaran dan pembelajaran
- penentuan kaedah pentaksiran,
- pemilihan instrumen pentaksiran,
- kriteria pertimbangan profesional, serta
- penentuan tahap penguasaan.
Terdapat beberapa model atau kaedah dalam moderasi. Guru boleh menggunakan mana-mana kaedah, atau boleh menggabungkan beberapa kaedah berikut:
- Kalibrasi
- Persidangan
- Merujuk Pakar
Comments
Post a Comment